Anggun, persona Bahari Asyek

Selari memartabatkan busana tradisional sebagai persalinan yang tidak akan luput ditelan arus kemodenan, Bahari Asyek iaitu label pakaian yang beroperasi di tiga butik di Shah Alam, Selangor, iaitu Busana Bahari Asyek, Bahari Asyek end of season dan Bahari Asyek Fabrik menampilkan fesyen tradisional untuk sambutan perayaan tahun ini.
Pemiliknya, Zahalina Abdul Rahman, berkata, sempena kedatangan bulan Syawal, Busana Bahari Asyek memperkenalkan rekaan fesyen tradisi baharu dengan fabrik yang unik dan selesa.
"Rekaan ini dihiasi dengan sulaman serta manik dengan kepelbagaian warna yang menarik dan memikat hati. Selain itu, rekaan ini juga menawarkan pelbagai pilihan fesyen tradisi dan potongan yang menarik menggunakan bahan-bahan fabrik yang dijual di butik kami sendiri.
"Busana Bahari Asyek mengetengahkan pelbagai fesyen dan corak busana wanita yang berteraskan kain kapas asli, syifon, sutera, linen dan. Antara koleksi pakaian rekaan kami sempena Syawal ini adalah kurung moden Jeleby, Embroidery, Zarigota dan Mofish Tail. Kecantikan busana ini diserlahkan lagi dengan penggunaan fabrik syifon mentah, syifon dan lining shemose, selain fabrik kain kapas viscose dan rayon yang menggunakan teknik ikat dan celup," katanya.
Tambah Zahalina, serlahkan penampilan anggun di pagi hari raya dengan persalinan kurung Pahang Dayang Senandung, kurung Pahang Dayang Salmah, kurung Pahang Siti Zubaidah dan kurung Pahang Mahsuri.
"Kesemua rekaan kurung Pahang ini mengggunakan pelbagai jenis fabrik yang berbeza seperti kain kapas kosong, kain kapas Swiss, rayon dwi tona dengan menggunakan teknik ikat dan celup yang menghasilkan corak warna-warna blok dan fabrik syifon renyuk (crinkle chiffon).
"Sementara itu, kurung Tun Teja dan Kebaya Cik Siti Wang Kembang turut diketengahkan pada tahun ini. Kurung Tun Teja menggunakan fabrik tenun kapas Bali yang bermotif pua, dan potongan diperbaharui dengan gaya klasik.
"Kebaya Cik Siti Wan Kembang pula telah diolah dalam potongan yang sesuai dengan gaya sekarang menggunakan fabrik viscose kosong, tenun kapas Bali dan tenun sutera broked. Harga bagi koleksi ini adalah antara RM75 hingga RM150," ujarnya.
Tambah Zahalina lagi, memahami situasi dan tradisi busana Melayu, beliau telah mengolah dan menampilkan pelbagai rekaan fesyen, corak dan potongan yang sesuai agar selesa dengan tema perayaan.
"Di Bahari Asyek End of Season pula menampilkan fesyen tradisi yang sama, cuma ia stok berteraskan dan dari koleksi yang baru lepas tetapi mempunyai kualiti sama.
"Butik ketiga dengan label Bahari Asyek Fabrik menawarkan pelbagai jenis dan corak kain seperti kain kapas cetak, bersulam dan polos dengan pelbagai warna dan corak. Bagi yang meminati sutera, pilihan sutera syifon, Shantung dan crepe ada dijual di sini," katanya.
Ujarnya, untuk menjaga tahap eksklusif, setiap fabrik hanya terdapat sepasang atau paling tinggi empat pasang sahaja yang akan dijual.
Fabrik-fabrik bermutu itu diimport dari Dubai, Turki, Mesir dan Pakistan.
Kepada yang berminat boleh berkunjung ke butik Bahari Asyek, di tingkat 1, Plaza Masalam ( Plaza Shah Alam). - SITI AISHAH YUSOFF



0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

About