Zahalina ke Pakistan cari fabrik ( petikan dari utusan 20/05/2010)

LEKA dan mengasyikkan ketika menjejakkan kaki ke premis Bahari Asyek. Walaupun kecil namun premis yang terletak di tingkat dua Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor itu dipenuhi dengan bermacam-macam fabrik yang tersusun rapi.
Corak-corak fabrik yang terdapat di sini memang eksklusif dan amat mudah memikat wanita .
Satu corak fabrik hanya dijual bagi sepasang baju sahaja atau bagi corak yang dikira akan mendapat sambutan, hanya terdapat dalam empat pasang baju sahaja.
Sebab itu, Bahari Asyek menjadi pilihan mereka yang benar-benar inginkan fabrik berkualiti yang eksklusif lagi elegan.
Apatah lagi untuk acara-acara istimewa seperti perkahwinan, pertunangan, makan malam, kenduri, majlis bertandang dan sebagainya.
Banyak yang boleh dipilih di sini. Jika inginkan sutera pilih sahaja sutera syifon, sutera Shantung polos dan bercorak atau sutera crepe.
Jika inginkan dari jenis benang kapas yang kini kembali menjadi trend, pasti rambang mata untuk memilih corak yang diingini kerana semuanya cantik-cantik belaka.
Terdapat fabrik benang kapas polos Mesir, tulen tanpa corak, bersulam halus, bersulam biasa, benang kapas sutera, benang kapas bercorak, kasa rubia bersulam, benang kapas bersulam putih hitam yang sesuai untuk jubah dan banyak lagi.
Jika inginkan yang lebih eksklusif, pilih sahaja sutera broked, sutera Perancis dan sutera Gul Ahmed swiss lawn.
Pemilik Bahari Asyik, Zahalina Ab. Rahman berkata, keyakinannya pada pelanggan yang pasti asyik melihat fabrik yang terdapat di premisnya memberi ilham untuk menamakan kedainya sedemikian rupa.
''Bahari adalah sebutan Melayu Sanskrit lama yang mempunyai beberapa makna seperti warisan, jatuh cinta atau mengasyikkan.
"Nama ini memang sesuai untuk kedai saya kerana fabrik yang dijual mudah untuk membuat orang jatuh cinta apabila melihatnya,'' katanya.
Dia mula terlibat dalam perniagaan itu sejak tiga tahun lalu kerana bosan dengan fabrik di pasaran yang kebanyakannya campuran poliester.
Zahalina sanggup ke Pakistan bagi mendapatkan produk bermutu seperti benang kapas yang memang terkenal di negara itu.
''Ramai tidak tahu bahawa Pakistan adalah dunia fabrik bermutu. Di sana pasaran terlalu besar terutamanya benang kapas yang bermutu tinggi kerana negara itu sememangnya pengeluar dan pengeksport benang kapas terkenal di dunia.
''Jika kita lihat fabrik benang kapas diberi nama ikut negara pokok kapas itu ditanam seperti Jepun, Swiss (Switzerland), China, Indonesia dan sebagainya.


''Tarikan fabrik di Pakistan juga dapat dilihat pada corak-corak yang berunsurkan keislaman dengan warna-warna menarik dan sesuai dengan cita rasa masyarakat Malaysia,'' ujar bekas eksekutif pemasaran di sebuah syarikat penerbitan itu.
Menurut Zahalina, ramai yang tidak berani ke Pakistan atas soal-soal keselamatan namun dia hanya bertawakal dan memohon perlindungan Allah semasa berada di sana.
''Saya mempunyai minat mendalam dalam fabrik. Sebab itu saya sanggup ke Pakistan bagi mencari fyang bermutu dan cantik. Terasa ada kepuasan dan kegembiraan apabila melihat fabrik-fabrik yang saya peroleh di sana.
''Pertama kali saya pergi ke negara itu kira-kira empat tahun lalu. Ketika itu kakak saya bekerja di sana. Bila saya ke pasar kain, saya melihat kain-kain yang dijual begitu cantik. Pulang ke rumah, saya dapatkan lebih maklumat melalui Internet,'' ujarnya yang sering ke Pakistan ditemani suami.
Dalam pada itu Bahari Asyek turut menjual baju kurung siap bagi mereka yang tidak sempat untuk menempah baju.
Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai fabrik di Bahari Asyek boleh melayari www.bahariasyek.com

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

About