Santun busana tradisional ( petikan dari berita harian 14/8/2013 )

http://www2.bharian.com.my/articles/Santunbusanatradisional/Article/cetakOleh Nurul Fhatihah

Suntikan eksklusif dan kontemporari kekalkan warisan silam

Biarpun zaman sudah berubah dengan fesyen terkini yang lebih moden, busana tradisional Melayu yang indah, menarik, santun, diperbuat daripada kain tenunan yang halus, masih lagi menjadi kebanggaan dan pilihan masyarakat di negara ini.

Baik untuk dipakai ke majlis rasmi mahupun menjelang Aidilfitri, busana tradisional Melayu seperti baju kurung tetap menjadi pilihan apatah lagi selepas ia diberi nafas baru.

Rekaan busana tradisional Melayu anggun dan menawan yang dibawa butik Busana Bahari Asyek milik Zahalina Ab Rahman turut diberi suntikan eksklusif dan kontemporari supaya fesyen Melayu lama itu tidak ditelan dek zaman, walaupun mengharungi arus pemodenan. Koleksi pakaian itu didatangkan daripada fabrik kapas sutera dan sifon.

Pemilik dan pengasasnya, Zahalina, berkata sesuai dengan nama komersialnya, Busana Bahari Asyek yang berasal dari perkataan Melayu lama iaitu 'jatuh cinta' kepada warisan silam yang indah dan molek, berseni halus lagi indah dan ia menjadi ciri tersendiri koleksinya.

“Kita orang Melayu, jadi harus berbangga dengan nama dan warisan bangsa. Atas dasar itu, nama butik ini dipilih selain fabrik yang dijual mudah untuk membuatkan orang jatuh cinta dan leka apabila melihatnya.

“Contoh koleksi fesyen klasik yang di modenkan menjadi koleksi fesyen kontemporari seperti Kurung Tun Teja yang menggunakan fabrik tenun kapas Bali yang bermotifkan pua dan diperbaharui dengan gaya klasik dari segi potongan,” kata bekas pengurus penjualan iklan itu.

Warna aliran terkini

Koleksi yang terdapat di Busana Bahari Asyek termasuk kurung moden pelbagai fesyen seperti 'jeleby', sulaman, 'zarigota' dan 'mofish tail' manakala koleksi kurung Pahang seperti Dayang Senandung, Sayang Salmah, Siti Zubaidah dan Mahsuri pula menggunakan fabrik sifon berkedut dengan perincian sulaman tiga dimensi (3D).

Zahalina yang memulakan perniagaan itu sejak empat tahun lalu, berkata, Busana Bahari Asyek bakal menampilkan kelainan untuk koleksi Syawal yang akan menjelang tiba tidak lama lagi, dengan sentuhan warna mengikut aliran fesyen masa kini iaitu warna blok yang terhasil menggunakan teknik ikat dan celup, selain perincian sulaman tiga dimensi.

Bagi menambahkan lagi tarikan mainan warna koleksi berkenaan, beberapa rona kontra digabungkan seperti kuning mustard disatukan dengan biru, pic digabungkan dengan biru laut serta beberapa adunan pelbagai tona.

“Setakat ini, sudah ada 20 koleksi pelbagai variasi untuk Syawal antaranya baju kurung moden, kebarung dan kebaya. Koleksi yang ada sebenarnya lebih kepada penggunaan fabrik kapas dan sutera tetapi saya ada juga menggunakan jenis fabrik lain seperti viscose kapas. Ini kerana tekstur fabrik ini sangat selesa dan memberi keselesaan kepada si pemakai,” katanya.

Beliau berkata, untuk tampak lebih mewah dan eksklusif, pembeli boleh memilih fabrik sutera broked, sutera Perancis renda dan sutera yang turut terdapat di butik berkenaan.

Fabrik luar negara

Bercerita mengenai kecintaannya terhadap fesyen dan fabrik, Zahalina berkata, ia bermula selepas beliau berhenti kerja dan mula meneroka bidang perniagaan itu. Apabila menyedari kebanyakan fabrik di pasaran bercampur polister, ia membuatkan beliau bosan dengan fabrik yang ada.

Justeru, Zahalina sanggup ke beberapa negara seperti Emeriah Arab Bersatu iaitu di Dubai, Turki, Mesir dan Pakistan untuk mendapatkan fabrik bermutu tinggi seperti benang kapas yang dapat memberi kelainan dan keistimewaan tersendiri di butiknya.

“Kami akan sentiasa memperbaharui koleksi butik setiap bulan selain menyediakan khidmat perunding kepada pelanggan yang mahu mendapatkan bantuan untuk mencari pakaian yang sesuai dan menepati cita rasa mereka tersendiri,” katanya.

Koleksi terkini itu dijual pada harga dari RM90 hingga RM1,500 sepasang dan orang ramai boleh berkunjung ke butik Bahari Asyek di tingkat satu Plaza Masalam di Shah Alam.

Beliau kini sudah mempunyai tiga butik yang beroperasi menggunakan label sama iaitu Busana Bahari Asyek, Bahari Asyek 'end of season' yang mengkhususkan pakaian siap (klasik) dan Bahari Asyek Fabrik khusus untuk penjualan fabrik.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

About